Luqman Al-Hakim mengajar anaknya ilmu yang datang
dari sisi Allah Yang Maha Mengetahui. Beliau pernah berpesan dan menasihati
anaknya:
.
1. “Wahai anak kesayanganku! Allah
SWT memerhatikan dirimu dalam kepekatan malam, semasa engkau bersolat atau
tidur lena di belakang tabir di dalam istana. Dirikan solat dan jangan engkau
berasa ragu untuk melakukan perkara makruh dan melempar jauh segala kejahatan
dan kekejian.”
2. “Wahai anakku! Selalulah berharap
kepada Allah SWT tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah
SWT. Takutlah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takut (takwa),
tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah SWT.”
3. “Wahai anak! janganlah engkau
mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik
itu adalah satu kezaliman yang besar.”
4. “Wahai anakku, Bersyukurlah
kepada Tuhanmu kerana kurniaan-Nya. Orang yang mulia tidak mengingkari
Penciptanya kecuali orang yang kufur.”
5. “Wahai anakku! Bukanlah satu kebaikan
namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu
tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah seperti orang
yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal
ia masih mahu menambahkannya.”
6. “Wahai anakku! Ketahuilah,
sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke
dalamnya. Jika engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu
dengan sampan yang bernama TAKWA, isinya ialah
IMAN dan Layarnya adalah TAWAKKAL
kepada Allah SWT.”
7. “Wahai anakku! Orang-orang yang sentiasa
menyediakan dirinya untuk menerima nasihat,
maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah SWT. Orang yang insaf dan sedar
setelah menerima nasihat orang lain, maka dia akan sentiasa menerima kemulian dari
Allah SWT juga.”
8. “Wahai anakku! Jadikanlah dirimu
dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya’
yang akan mendatangkan cela pada dirimu.”
9. “Wahai anakku! Jangan engkau
berjalan sombong serta takbur,
Allah SWT tidak meredai orang yang sombong dan takbur.”
10. “Wahai anakku! Selalulah baik tutur kata
dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu,
dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap
orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.”
11. “Wahai anakku! Bilamana engkau mahu
mencari kawan sejati, maka ujilah dia terlebih
dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia
masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai
kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.”
12. “Wahai anakku! Apabila engkau berteman,
tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu
daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.”
13. “Wahai anakku! Sesesiapa yang penyayang
tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang
mengandungi racun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata
kotor tentu akan menyesal.”
14. “Wahai anakku! Bergaul rapatlah
dengan orang yang alim lagi berilmu.
Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini
mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara
kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.”
15. “Wahai anakku! Janganlah engkau
mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang
menggelikan hati, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan
yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, dan
janganlah mensia-siakan hartamu.”
16. “Wahai anakku! Sekiranya kamu di
dalam solat, jagalah hatimu,
sekiranya kamu makan, jagalah kerongkongmu,
sekiranya kamu berada di rumah orang lain, jagalah kedua matamu
dan sekiranya kamu berada di kalangan manusia, jagalah lidahmu.”
17. “Wahai anakku! Usahakanlah agar
mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana
engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, berusahalah agar bicaramu
mendatangkan manfaat bagi orang lain.”
18. “Wahai anakku! Berdiam diri
itu adalah hikmah (perbuatan yang bijak) sedangkan amat sedikit orang yang
melakukannya.”
19. “Wahai anakku! Janganlah engkau
menghantarkan orang yang tidak cerdik sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang
yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang
layak menjadi utusan.”
20. “Wahai anakku! Janganlah engkau
bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka,
kelak akan membinasakan dirimu.”
21. “Wahai anakku! Sesungguhnya orang bertalam
dua muka bukan seorang yang jujur di sisi Allah SWT.”
22. “Wahai anakku! Jauhilah
bersifat dusta, sebab berbohong itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu
telah memberikan akibat yang berbahaya.”
23. “Wahai anakku! Sesiapa yang berbohong
hilanglah air mukanya dan sesiapa yang buruk akhlaknya banyaklah dukacitanya.”
24. “Wahai anakku! Bersabarlah di atas
apa yang menimpa dirimu kerana yang demikian itu menuntut kepastian kukuh
daripadamu dalam setiap kejadian dan urusan.”
25. “Wahai anakku! Apabila engkau
mempunyai dua pilihan di antara takziah orang
mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab
ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta
perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.”
26. “Wahai anakku! Janganlah engkau makan
sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang
itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing
sahaja.”
27. “Wahai anakku! Janganlah engkau
terus menelan sahaja kerana manisnya barang
dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis
belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan
kesengsaraan.”
28. “Wahai anakku! Aku pernah makan makanan
yang baik dan memeluk yang terbaik tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang
lebih lazat daripada kesihatan.”
29. “Wahai anakku! Seandainya perut
dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan
lumpuhlah anggota badan untuk beribadat.”
30. “Wahai anakku! Apabila perutmu telah penuh
sesak dengan makanan, maka akan tidurlah fikiranmu, menjadi
lemah hikmahmu dan berhentilah (malas) seluruh anggota tubuhmu daripada
beribadat kepada Allah SWT dan hilanglah kebersihan hati (jiwa) dan kehalusan
pengertian, yang dengan sebab keduanyalah dapat diperoleh lazatnya munajat dan
berkesannya zikir pada jiwa.”
31. “Wahai anakku! Makanlah makananmu
bersama sama dengan orang orang yang takwa dan musyawarahlah
urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.”
32. “Wahai anakku! Jangan engkau berlaku derhaka
terhadap ibu dan ayahmu dengan apa jua sekalipun, melainkan apabila mereka
menyuruhmu derhaka kepada Yang Maha Berkuasa.”
33. “Wahai anakku! Allah mewasiatkan dirimu; berbuat
baiklah dengan ibu dan ayahmu. Justeru, jangan engkau
mengherdik mereka dengan perkataan mahupun perbuatan dibenci.”
34. “Wahai anakku! Seandainya ibubapamu
marah kepadamu kerana kesilapan yang kamu lakukan, maka marahnya ibubapamu
adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.”
35. “Wahai anakku! Orang yang merasa dirinya
hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah SWT, maka dia tawadduk
kepada Allah SWT, dia akan lebih dekat kepada Allah SWT dan selalu berusaha
menghindarkan maksiat kepada Allah SWT.”
36. “Wahai anakku! Seorang pendusta
akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang
telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak
benar.”
37. “Wahai anakku! Andainya ada sebutir
biji sawi terpendam di dalam batu, pasti ketahuan jua oleh Tuhanmu Yang Maha
Melihat, Allah Amat Mengetahui segala sesuatu,
zahir mahupun batin atau apa yang engkau sembunyikan di dalam dadamu.”
38. “Wahai anakku! Ketahuilah, memindahkan batu
besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi
pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.”
39. “Wahai anakku! Engkau telah merasakan
betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan
lebih lagi daripada semua itu adalah bilamana engkau mempunyai jiran
yang jahat.”
40. “Wahai anakku! Aku pernah memindahkan
batu-bata dan memikul besi, tetapi aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih
berat daripada hutang.”
41. “Wahai anakku! Jauhkan dirimu dari berhutang,
kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang
dan gelisah di waktu malam.”
42. “Wahai anakku! Apakah tidak engkau
perhatikan, apa yang Allah bentangkan bagimu apa-apa yang ada di langit dan di
bumi daripada kebaikan yang amat banyak?”
43. “Wahai anakku! Apa yang engkau menikmati
di kehidupan ini lantaran kurniaan-Nya yang
penuh keamanan, keimanan dan kebaikan yang melimpah ruah, di taman dunia yang
subur mekar dengan bunga-bungaan serta tumbuhan yang berseri-seri.”
44. “Wahai anakku! Ambillah harta dunia sekadar
keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk
bekalan akhiratmu.”
45. “Wahai anakku! Janganlah engkau condong
kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan
oleh dunia saja kerana engkau diciptakan Allah SWT bukanlah untuk dunia sahaja.
Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan
dunianya.”
46. “Wahai anakku! Jangan engkau buang dunia
ini ke bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis
yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini
serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu
adalah tanah belaka.”
47. “Wahai anakku! Tidak ada kebaikan
bagimu untuk mempelajari apa yang belum kamu
tahu sedangkan kamu belum beramal dengan apa
yang kamu tahu.”
48. “Wahai anakku! Ingatlah dua perkara
iaitu Allah SWT dan mati, lupakan dua perkara lain iaitu kebaikanmu terhadap
hak dirimu dan kebaikanmu terhadap orang lain.”
49. “Wahai anakku! Kehinaan dalam melakukan ketaatan
kepada Allah SWTlebih mendekatkan diri daripada mulia
dengan maksiat (perkara menyebabkan dosa) kepada-Nya. Janganlah anakku undurkan
melakukan taubat, sebab kematian datangnya
tiba-tiba, sedang malaikat maut tidak memberitahukannya terlebih dulu.”
50. “Wahai anakku! Sesungguhnya lama
bersendirian itu dapat memahami untuk berfikir
dan lama berfikir itu adalah petunjuk jalan ke syurga.”
No comments:
Post a Comment