Azizah, 45, (bukan nama sebenar), dikenali
seorang yang peramah, cantik, bijak dan memiliki kewanitaan yang didamba
lelaki. Bidang tugasnya yang sering berhubung dengan orang ramai
menjadikan dia disenangi, malah ramai lelaki yang tertawan dan ingin
menyunting sebagai isteri.
Cintanya dengan Mazlan paling hangat. Mereka bertunang dan hampir
berkahwin, tetapi akhirnya terputus atas sebab yang tidak pasti. Sejak
itu bukan tidak ada lelaki yang hadir dalam hidupnya, tapi semuanya
seakan tidak serasi dan ditolaknya.
Ada kalanya, Azizah suka dan amat merindui teman lelakinya, tapi
akhirnya bertukar benci. Dalam usia sebegitu, sebenarnya wanita patutnya
semakin resah sedang tidak juga berkahwin sedang usia beranjak dari
setahun ke setahun. Bukan sengaja menolak jodoh atau ingin digelar
andartu, tapi dia sendiri pun tidak mengetahui mengapa dirinya
dibelenggu perasaan begitu.
Malah, wanita tinggi kurus lampai ini selalu melawan gejolak
jiwanya dan memberontak supaya hasrat untuk berkahwin dengan mana-mana
lelaki tidak wajar diteruskan.
Kata Azizah, fikirannya selalu runsing manakala badannya terasa
lesu dan pernah beberapa kali meracau serta bertukar menjadi murung.
Badannya juga sakit dan paling teruk, sering bermimpi bukan-bukan
termasuk hamil dan mendukung bayi.
Katanya, selepas mendapatkan rawatan perubatan Islam barulah dia
mengetahui semua itu berpunca daripada sihir pelalau yang dititipkan
kepadanya melalui makanan.
Kemudian baru menyedari ia angkara rakan karibnya yang juga
menyimpan perasaan dendam padanya. Semua berpunca, kisah 12 tahun lalu
apabila rakannya dalam diam cemburu pada Azizah yang sentiasa disenangi
hampir semua rakan lelaki mereka.
Jiwa kacau
Apa yang terjadi kepada Azizah bukanlah perkara pelik, malah ia
tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa saja. Pelalau adalah satu
istilah dalam ilmu kebatinan Melayu yang membabitkan sihir.
Kesan daripada sihir itu akan menyebabkan terkunci nafsu atau
tabiat orang yang terbabit mungkin akan berubah seperti menjadi pendiam,
tidak aktif, murung, menyendiri dan ada yang bertindak di luar
kebiasaan, akibat daripada tekanan jiwa ataupun akibat sihir pelalau,
atau kerana kedua-duanya.
Selain daripada pelalau kunci nafsu kahwin, sihir jenis ini juga
boleh menyebabkan berlakunya halangan menyebabkan usaha untuk menemukan
jodoh seseorang itu tidak kesampaian. Inilah yang berlaku pada Azizah
tanpa disedarinya.
Menurut ulama, perkataan sihir dari segi bahasa bererti
terdapatnya sesuatu yang amat halus sedang bersembunyi dan kehadirannya
tidak dapat dikesan dengan pancaindera.
Takrifan sebahagian ulama pula mendakwa sihir merujuk kepada
azimat, pelbagai jampi mantera dan simpulan tali yang dapat memberikan
kesan yang nyata kepada jiwa, akal dan badan seseorang.
Biarpun kemajuan teknologi semakin menghiasi muka bumi,
kecanggihannya masih tidak dapat mengesan punca penyakit atau gerak laku
individu terkena sihir.
Sebagai contoh, seseorang menderita kesakitan namun diagnosis
doktor mendapati tiada masalah kerosakan atau kegagalan saraf pada diri
pesakit. Begitu juga mungkin isteri tiba-tiba benci kepada suaminya
tanpa sebarang perkelahian atau perselisihan pendapat antara mereka.
Begitu juga sihir boleh menyebabkan seseorang menderita sakit di
bahagian tertentu badan atau seluruh badan atau menyebabkan anggota
tertentu badannya menjadi lumpuh tanpa sebab yang jelas. Antara sihir
yang kerap ditemui dalam masyarakat kita ialah sihir pelalau, santau dan
pukau.
Liat jodoh
Sihir boleh menyebabkan seseorang tidak waras atau membuatkan
fikirannya celaru, boleh menimbulkan rasa cinta berahi atau benci tanpa
sebab yang jelas serta membuatkan badan sakit.
Pastinya, apabila bercerita mengenai sihir penyekat atau
penghalang jodoh yang lebih dikenali pelalau dalam kalangan masyarakat
bukan perkara luar biasa di telinga.
Menjelas lanjut mengenai sihir tatiluz zawaj, Pengasas dan
Pengerusi Pertubuhan Pengamal Perubatan Islam Ruqyah Syariyyah Malaysia
(Kiswah), Hayat Abdul Rahman, berkata kesan daripada masalah itu
individu tidak menemui jodoh sehingga lanjut usia atau sampai ke hujung
nyawa bergantung sama ada terkena gangguan atau tidak.
Soal jodoh sememangnya kuasa Allah. Kelewatan bertemu jodoh boleh
juga disebabkan ga gangguan jin atau sihir yang dihantar baik menerusi
bantuan makhluk halus atau sebaliknya secara santau.
Pembabitan sihir ini boleh dibahagi kepada sama ada membabitkan
gangguan jin atau dihantar oleh orang yang membuat onar, jelasnya ketika
dihubungi, baru-baru ini.
Sihir penyekat jodoh
Hayat berkata, sihir penyekat jodoh boleh berlaku kerana munculnya
hasad dengki dalam kalangan saudara, pasangan atau sesiapa saja apabila
pujaan hati tidak dapat dimiliki atau juga menolak lamaran dikemukakan.
Sihir pelalau membuatkan seseorang berat hati untuk menerima cinta
baru dan juga boleh menjadikan seseorang itu hilang perasaan terhadap
jantina berlainan jika kisahnya teruk.
Allah menjadikan fitrah kita untuk menyukai jantina berlainan.
Sihir ini juga mampu menutup hati wanita dan buka kepada sesama jenis
berdasarkan pengalaman saya sendiri.
Sihir penghalang jodoh ini juga membuatkan wanita untuk menolak
lamaran sama ada kerana kehadiran jin Asyik yang menutup pintu hati
untuk meneruskan perasaan cinta terhadap manusia atau pun jin yang
dihantar oleh tukang sihir, katanya.
Rasa benci mula timbul
Kehadiran sihir mampu mengubah sikap dan keinginan seseorang hingga
mereka tutup hati sepenuhnya terhadap persekitaran dan untuk menerima
lelaki dalam hidupnya.
Hayat berkata, individu dikenakan sihir pelalau, lazimnya akan
hilang rasa kasih mereka kepada pasangan malah melihat pasangan seakan
sesuatu dibenci dan ada juga berubah nafsu hingga mereka memilih untuk
berkongsi kasih dengan kaum sejenis.
"Berdasarkan pengalaman dikongsi pesakit, tanpa mereka sedar
perasaan sayang yang dicurahkan kepada pasangan mereka merubah benci
malahan melihat cinta hati seakan haiwan dan hodoh.
"Sihir itu juga menjadikan mereka cenderung melupakan perkara
sunat iaitu berkahwin dan memilih untuk memberi fokus pada kerjaya dan
kehidupan sendiri.
"Bahkan, ada mengalami gangguan ketika majlis akad nikah dan ada
juga pula mengamuk pada detik itu hingga hubungan sedia ada putus.
Cara rawatan
Bahana yang dicetuskan sihir terlalu besar dan merugikan di akhirat
nanti. Justeru, kita semua mesti menjauhi sihir yang membawa kepada
syirik dan sentiasa bersandar dan meletakkan harapan sepenuhnya kepada
Allah dalam merungkaikan apa saja masalah membelenggu diri.
Katanya, jika mula terasa wujudnya perasaan pelik dalam setiap
perhubungan yang terputus biarpun puas cuba untuk menerima pasangan,
individu disaran mengambil langkah mencari penyelesaian menggunakan
perkhidmatan pakar perubatan Islam.
"Memang sukar untuk mengetahui sama ada kita terkena sihir atau
sebaliknya. Tapi jika dengan berkat keizinan Allah dan usaha pesakit
sendiri, Insya Allah sihir boleh disingkirkan dari tubuh.
"Antara tanda yang boleh diteliti adalah seperti mimpi melihat
haiwan liar dan berbisa, melihat bayi dan api serta ketap gigi. Tanda
itu juga boleh dirasai ketika sedar termasuk sakit tulang empat kerat,
sakit pelikat, ketumbuhan, sawan dan gelisah mendengar ayat al Quran,
sebaiknya cari penawarnya," katanya.