Anggota keluarga di sisi mayat Mohd Yusrizal yang maut akibat terkena bahan letupan di Taman Seri Periuk, Tumpat, semalam.
Tumpat: Seorang kerani sekolah maut apabila bungkusan mengandungi
bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kereta di halaman rumah
mentuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di sini, meletup, pagi
semalam.
Ketika kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Mohd Yusrizal
Mat Zain, 32, dari Kampung Kenor, Kuala Krai, dikatakan cuba mengambil
bungkusan yang ditinggalkan di bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV)
milik abang iparnya apabila ia tiba-tiba meletup.
Cedera parah di badan
Letupan itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian akibat
kecederaan parah pada badan dengan kedua-dua pergelangan tangannya
putus, manakala perut terburai. Kenderaan berkenaan turut mengalami
kerosakan teruk.
Mohd Yusrizal yang bertugas sebagai kerani di
Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Kuala Krai, dikatakan tiba di
rumah mentuanya, malam kelmarin, bagi meraikan Aidilfitri.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong
Heng, berkata letupan berlaku apabila mangsa mengambil bungkusan yang
ditinggalkan di atas bumbung kereta Naza Citra.
“Sebaik diangkat, bungkusan itu meletup, menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian.
“Polis sedang menjalankan siasatan mengenai letupan dan bungkusan itu
serta berharap tiada pihak membuat spekulasi mengenainya. Kes ini
disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya
kepada pemberita di tempat kejadian, semalam.
Seorang ahli
keluarga mangsa yang enggan dikenali, berkata Mohd Yusrizal pulang ke
rumah mentuanya untuk beraya, malam kelmarin.
“Mangsa ketika
membuka pintu rumah (sebelum kejadian), ternampak sebuah bungkusan hitam
di atas bumbung kereta Naza Citra dan pergi mengambilnya.
“Ketika mangsa mengangkat bungkusan itu, ia tiba-tiba meletup. Letupan
kuat itu mengejutkan kami sekeluarga yang ketika itu berada di dalam
rumah,” katanya.
Dengar letupan kuat
Sementara
itu, seorang jiran, Kamaruddin Che Mad, 56, berkata sebelum kejadian,
beliau berada di serambi rumahnya yang terletak kira-kira tiga pintu
dari rumah mangsa.
“Saya terkejut apabila terdengar letupan
kuat dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa sudah
terbaring dengan kedua-dua pergelangan tangannya putus serta perut
terburai.
“Melihat keadaan mangsa yang parah, saya pada mulanya
hendak membantu, namun tidak berbuat demikian kerana ngeri melihat
keadaan mangsa dan terus menghubungi polis,” katanya.