Wednesday 3 October 2012

Sujud ~ Pengenalan

اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

.

(A.)   SUJUD

Amalan atau rukun yang paling disukai oleh Allah SWT ialah rukun sujud. Sujud bermaksud menundukkan kepala sehingga dahi diletakkan ke bumi atau lantai sebagai menyatakan kehinaan dan kerendahan diri selaku hamba kepada Allah SWT, pada masa yang sama lidah mengucapkan kalimah tasbih tertentu.
.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Jarak yang paling hampir antara seorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika ia sedang sujud, maka perbanyaklah doa di waktu itu.”  (H.R. Muslim)
.
Cahaya kekhusyukan yang keluar dari batin seseorang, akan terpancar dan berbekas pada wajah mereka yang sujud. Allah Ta’ala berfirman:

سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ‌ السُّجُودِ

“Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (hasil daripada ibadat mereka yang ikhlas).”
(Surah Al-Fath; ayat 29).
.
Sujud adalah kemuncak kerendahan diri  dan waktu paling hampir seseorang hamba itu dengan Penciptanya dan antara cara berkesan memohon keampunan Allah. Secara zahirnya ia menunjukkan ‘rasa merendah diri’ seseorang hamba itu di depan Tuhannya di dalam keadaan menyerah diri, pasrah, berikrar dan mengaku bahawa “Ya Allah hanya Dikaulah ….”
.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Tidak seorang pun menaruh keningnya bersujud kepada Allah dan ia berkata: Tuhanku, ampunilah dosaku ( tiga kali), kecuali pada saat ia mengangkat kepalanya telah diampuni dosanya.” (H.R. Ibnu Abi Syaibah)
.
.
.

(B.)  PERLAKUAN SUJUD

.

1.  Kesempurnaan Sujud

Sujud yang sempurna, adalah bersujud bersama-sama 7 (tujuh) anggota, iaitu:
a)     Bahagian dahi sehingga ke batang hidung.
b)     Kedua-dua tapak tangan.
c)     Kedua-dua belah lutut.
d)     Kedua-dua belah jari-jemari kaki.
.

2.  Cara Bersujud

Antara cara bersujud ialah:
a)     Sujud hendaklah dilakukan dengan toma’ninah (berhenti sebentar).
b)     Menekankan dahi ke tempat sujud adalah mengikut berat kepalanya.
c)     Dahi atau sebahagian dahi tidak berlapik. Jika berlapik, sujud tidak sah.
d)     Sujud dalam keadaan berlapik, harus disebabkan darurat, misalnya luka.
e)     Tidak diwajibkan mendedahkan kedua-dua tapak kaki, boleh pakai sarung kaki.
.

3.  Roh Sujud

  1. Rendahkan diri-tinggi dan besarkan Allah-lakukan penuh kekhusyukan.
  2. Niatkan dalam hati bersujud semata-mata untuk menyatakan kehambaan kepada Allah dan mencari keredaannya.
  3. Rasakan diri amat hina di hadapan Allah yakni bahawa Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Mulia.
.
.
.

(C.)  FADILAT SUJUD

a)     Darjat diangkat oleh Allah SWT.
b)     Saat paling hampir kepada Allah SWT.
c)     Allah SWT. memakbulkan doanya.
d)     Allah SWT. menghapuskan dosa kesalahan.
e)     Mendidik bersifat merendah diri atau tawaduk.
f)      Mengkagumi akan kebesaran dan keagungan Yang Maha Esa.
g)     Sujud menjadi bukti kesetiaan hamba kepada pencipta-Nya.
h)     Terpancar cahaya dan sinar kekhusyukan pada wajahnya.
.
.
.

(D.)  JENSI-JENIS SUJUD

  1. Sujud Rukun  
  2. Sujud Sahwi  
  3. Sujud Tilawah Sajadah  
  4. Sujud Syukur  
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

No comments:

Post a Comment