Monday 12 August 2013

Kerani maut bungkusan atas kereta meletup


 Kerani maut bungkusan atas kereta meletup



Anggota keluarga di sisi mayat Mohd Yusrizal yang maut akibat terkena bahan letupan di Taman Seri Periuk, Tumpat, semalam. Tumpat: Seorang kerani sekolah maut apabila bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kereta di halaman rumah mentuanya di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk di sini, meletup, pagi semalam.

Ketika kejadian jam 11 pagi itu, mangsa, Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, dari Kampung Kenor, Kuala Krai, dikatakan cuba mengambil bungkusan yang ditinggalkan di bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) milik abang iparnya apabila ia tiba-tiba meletup.
Cedera parah di badan


Letupan itu menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dengan kedua-dua pergelangan tangannya putus, manakala perut terburai. Kenderaan berkenaan turut mengalami kerosakan teruk.

Mohd Yusrizal yang bertugas sebagai kerani di Sekolah Rendah Kebangsaan Manik Urai, Kuala Krai, dikatakan tiba di rumah mentuanya, malam kelmarin, bagi meraikan Aidilfitri.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia empat bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng, berkata letupan berlaku apabila mangsa mengambil bungkusan yang ditinggalkan di atas bumbung kereta Naza Citra.
“Sebaik diangkat, bungkusan itu meletup, menyebabkan mangsa meninggal di tempat kejadian.

“Polis sedang menjalankan siasatan mengenai letupan dan bungkusan itu serta berharap tiada pihak membuat spekulasi mengenainya. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian, semalam.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, berkata Mohd Yusrizal pulang ke rumah mentuanya untuk beraya, malam kelmarin.

“Mangsa ketika membuka pintu rumah (sebelum kejadian), ternampak sebuah bungkusan hitam di atas bumbung kereta Naza Citra dan pergi mengambilnya.

“Ketika mangsa mengangkat bungkusan itu, ia tiba-tiba meletup. Letupan kuat itu mengejutkan kami sekeluarga yang ketika itu berada di dalam rumah,” katanya.

Dengar letupan kuat

Sementara itu, seorang jiran, Kamaruddin Che Mad, 56, berkata sebelum kejadian, beliau berada di serambi rumahnya yang terletak kira-kira tiga pintu dari rumah mangsa.

“Saya terkejut apabila terdengar letupan kuat dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa sudah terbaring dengan kedua-dua pergelangan tangannya putus serta perut terburai.

“Melihat keadaan mangsa yang parah, saya pada mulanya hendak membantu, namun tidak berbuat demikian kerana ngeri melihat keadaan mangsa dan terus menghubungi polis,” katanya.

No comments:

Post a Comment