Thursday 30 May 2013

Gadis hilang ditemui mati dalam semak

Melaka Tengah: Seorang remaja berusia 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, di sini, malam kelmarin.

Remaja lelaki itu yang juga rakan mangsa, Aimi Hamizah Mohamad, 14, ditahan di sebuah rumah di Ayer Molek, pada jam 3.30 petang semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Superintendan P R Gunarajan, berkata mayat mangsa yang lengkap berbaju kurung, ditemui terbaring di atas papan lapis dalam kawasan semak kira-kira empat kilometer dari kediamannya, namun siasatan awal polis tidak mengesan unsur jenayah dan kesan kecederaan pada badan mangsa.


Tunggu laporan bedah siasat

Mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira dua hari lalu berdasarkan keadaan tubuh yang mula reput, namun menolak kemungkinan dia dirompak kerana barang kemasnya tidak diambil, katanya sambil menambah, polis masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan hari ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat Aimi yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek ditemui sekumpulan remaja lelaki jam 7 malam kelmarin ketika mereka sedang bermain bola sepak di tanah lapang berhampiran kawasan semak terbabit, yang turut dijadikan tempat pembuangan sampah.
Sebelum itu, remaja berkenaan dilaporkan hilang sejak Isnin lalu selepas dikatakan keluar dari rumah kira-kira jam 7.40 malam untuk menghadiri kelas mengaji al-Quran yang terletak hampir 200 meter dari kediamannya di Taman Desa Molek, di sini.

Bagaimanapun, kelas terbabit dibatalkan tetapi anak perempuan tunggal daripada tiga beradik itu gagal pulang ke rumah, mendorong keluarganya membuat laporan di Balai Polis Tiang Dua, Selasa lalu.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohamad Sahak, 58, berkata Aimi sempat berbuka puasa bersama isterinya, Maimunah Ismail, 44, dan kemudian bersalaman berulang kali dengannya selain berkali-kali mencium Maimunah berbanding biasa sebelum keluar untuk ke kelas mengaji.

No comments:

Post a Comment