Monday 17 October 2011

Awas kasut tumit tinggi

Berkasut tumit tinggi memang kegemaran sebahagian besar wanita kerana selain menjadi sebahagian daripada fesyen, penampilannya akan nampak lebih bergaya dan elegan apabila mengenakan kasut bertumit tinggi.
Bagaimanapun, kecenderungan ini boleh mengundang bahaya dan masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi wanita hamil.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S. M. Mohamed Idris berkata, kasut tumit tinggi direka untuk menolak dada ke depan dan punggung ke belakang sehingga spina dan pinggul terkeluar daripada kedudukan asalnya dan menimbulkan masalah kesihatan bukan sahaja kepada kaki tetapi keseluruhan badan.
Katanya, CAP juga mendapati kasut tumit tinggi jika dipakai terlalu lama boleh menyebabkan kencing tidak lawas, masalah belakang dan tulang pinggul.

”Selain itu ia juga boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian rahang, leher dan kepala, gangguan kitaran haid malah membawa kepada masalah kesuburan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut beliau, berkasut tumit tinggi selama bertahun-tahun akan menyebabkan tendon Achhilles menjadi pendek hingga menyebabkan sakit tumit.

Tambahnya, memakai kasut tumit tinggi mengubah cara jalan seseorang dengan mengenakan pusat graviti ke atas bebola kaki dan meletakkan tekanan berlebihan sehingga 26 peratus pada lutut iaitu kes biasa osteoprosis.
”Hasil kajian pakar pembedahan ortopedik dari Kolej Perubatan Baylor, Houston, Profesor Madya Dr. John Marymont, seseorang yang memakai kasut bertumit 2.5 inci memberi 50 peratus manakala kasut bertumit 3 inci memberi 76 peratus tekanan pada kaki.

”Masalah lebih menyakitkan berkaitan pemakaian kasut tumit tinggi ialah neuroma iaitu kaki dipaksa masuk ke dalam kasut tumit tinggi yang ketat dan runcing di depan,” katanya.

Jelasnya, ia kemudian akan menekan saraf dan tisu mula terbentuk di sekitar saraf yang menyebabkan kesakitan sehingga pembedahan mungkin perlu dilakukan untuk memulihkannya.

No comments:

Post a Comment