Thursday 6 October 2011

Pemakanan Ketika Dalam berpantang

Amalan pemakanan ketika pantang ni mengikut moden dan tradisional terdapat pencanggahan. Jika mengikut doktor perubatan, boleh makan apa sahaja. Namun jika mengikut amalan tradisional Melayu ada banyak pantang larangnya. Percanggahan antara moden dan tradisional ini sebenarnya banyak berpunca daripada amalan yang salah seperti mengambil herba tanpa pengetahuan yang betul mengenainya atau amalan berpantang yang keterlaluan sehingga menyebabkan masalah pula seperti amalan minum 2 ruas jari dan makan nasi berlauk ikan masin setiap hari.
Saya sering mendapat pertanyaan mengenai bolehkah minum banyak. Minum banyak takut ‘kembang’. Pengalaman saya, saya minum mengikut keperluan badan saya. Jika kurang minum, susu akan kurang dan badan terasa letih. Jika secara tradisional amat digalakan minum rebusan akar kayu. Rebusan air ini dapat membantu membersihkan darah, mengeluarkan angin kotor, membersihkan sistem perkumuhan serta tingkatkan fungsi hati. Namun perlu berhati-hati apa yang diambil. Contohnya manjakani dan kacip fatimah memang bagus untuk mengecutkan rahim. Tetapi bilakah masa yang sesuai mengambilnya? Ada menyangka boleh terus diambil semasa pantang. Sebenarnya mula diambil selepas darah nifas kering atau lebih kurang selepas 30 hari.
Minuman sejuk, bergas atau tajam perlu dielak untuk menjauhkan dari masalah sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi, iaitu penyakit artritis dan reumatisme.
Dari segi pemakanan , ulam-ulaman sesuai untuk dimakan kerana sifatnya yang antioksidan dan mengandungi fiber, mineral dan pelbagai vitamin. Ulaman adalah termasuk daun dan ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun pegaga, ulam raja, daun lemuni dan daun kaduk. Untuk sumber protein boleh diperolehi daripada ayam hitam, ayam didik , burung merpati dan burung puyuh. Daripada sumber ikan pastikan ikan yang segar, tidak berbisa dan mengandungi merkuri. Ikan yang perlu dielak adalah ikan bawal hitam, terubuk, pari parang, kembung, tamban dan cecaru. Makanan laut seperti udang, sotong, kerang perlu dielakkan sama sekali. Peraturan pemakanan ini tertakluk sama ada alah pada pemakanan tersebut atau tidak. Jika alah dengan ayam sebelum atau semasa mengandung, tentu sekali anda tidak boleh ambil ketika berpantang juga.
Pemakanan untuk ibu yang menyusu badan, ada sesetengah herba menyebabkan susu kering. Sebaik-baiknya bertanya untuk dapat kepastian. Ibu juga perlu menjaga tidak minum minuman berkafein dan bercokelat untuk elak bayi kembung. Perlu elak makan bawang besar, bawang putih dan makanan pedas kerana ini menjejaskan kualiti susu. Tingkatkan pengambilan omega-3 fatty acid (DHA) yang banyak terdapat dalam minyak ikan.
Tentu kita juga tidak sabar untuk menurunkan berat badan. Tetapi pastikan jangan turun dengan drastik dengan mengawal secara ketat pengambilan makanan seharian. Badan memerlukan khasiat untuk pastikan proses pemulihan akibat bersalin dan perlukan tenaga untuk menguruskan hidup seharian. Selain itu penurunan drastik mendatangkan kemudaratan jika menyusu badan iaitu menyebabkan toksin dilepaskan dan masuk ke susu badan.
Walau apa pun pemakanan yang baik dan betul amat penting untuk memastikan badan cepat sembuh dan sihat kembali. Selain itu tujuan penjagaan pemakanan yang betul dapat mengembalikan semula bentuk badan yang asal. Ada kala dapat pula bentuk badan yang ideal, sedangkan sebelum mengandung badan agak berisi. Untuk mengekalnya , tentu sekali perlu juga mengekalkan cara pemakanan yang sihat ini berterusan. Jika tidak menjaga berat akan naik semula kerana badan kita dipengaruhi sepenuhnya oleh amalan pemakanan dan jagaan kesihatan kita. Sebaiknya perlu bersenam juga.:)

No comments:

Post a Comment