Sunday 23 October 2011

Mencepatkan kelahiran

Sebagai seorang bakal ibu, perkataan induksi ataupun memulakan proses kelahiran lebih awal lazim kedengaran terutamanya jika puan menghadapi masalah perubatan semasa mengandung.

Banyak sebab-sebab mengapa proses kelahiran dimulakan walaupun puan belum lagi mengalami kontraksi atau secara amnya sakit untuk bersalin.

Kaedah-kaedah yang digunakan untuk induksi kelahiran juga dapat mencepatkan proses masa untuk bersalin.
Ini penting difahami sekiranya puan telah dikenalpasti oleh doktor pakar perbidanan untuk melahirkan anak sebelum kontraksi serta kesakitan bersalin spontan.

Peringkat proses kelahiran
Kontraksi serta kesakitan untuk bersalin biasanya hadir secara spontan di antara minggu ke 37 hinggalah ke minggu 42.

Ada tiga peringkat proses kelahiran:
l Proses pertama: proses kelahiran adalah yang terpanjang, bermula dengan kontraksi rahim dan diikuti dengan kesakitan meneran secara berkala. ini menyebabkan pintu pangkal rahim puan terbuka dari beberapa milimeter hinggalah ke maksimum 10 sentimeter.

l Proses kedua: peringkat meneran di mana pintu pangkal rahim puan sekarang paling maksimum pada 10 sentimeter sehinggalah berlakunya kelahiran bayi.
l Proses ketiga: merupakan peringkat di mana uri (plasenta) dikeluarkan.
Pangkal rahim puan menipis dan seterusnya membuka supaya kepala bayi dapat melalui hinggalah ke faraj dan seterusnya kelahiran.
Ada juga keadaan di mana keadaan menipis serta membuka pangkal rahim ini berlaku beberapa minggu sebelum puan merasai sakit kontraksi yang mencetuskan kelahiran bayi.

Rahim merupakan organ anatomi yang berotot dan kontraksinya akan menyebabkan puan mengalami sakit belakang.
Perjalanan kontraksi ini berlaku dari bahagian atas sehinggalah ke bahagian bawah rahim. Kontraksi ini mungkin akan diikuti dengan rasa sakit.
Rahim menjadi tegang dan mengeras. Apabila kontraksi reda, rahim puan berehat dan perut menjadi lembut kembali. Puan akan berasa lega dan tidak lagi cemas.
Kontraksi yang beritma dan makin bertambah kekuatan serta kekerapan ini menyebabkan pintu pangkal rahim menipis serta membuka, dan seterusnya bayi akan menurun ke arah faraj. Kekerapan dan kekuatan kontraksi ini berakhir dengan kelahiran bayi.
Ada di antara ibu-ibu mengandung yang mengalami kontraksi pada minggu ke-34 dan juga mungkin pada minggu-minggu yang sebelumnya.
Kontraksi ini lazimnya berlaku pada penghujung hari dan tidaklah begitu menyakitkan tetapi tetap mencemaskan ibu yang mengandungkan anak sulung. Kontraksi ini dipanggil sebagai kontraksi Braxton Hicks. Ianya sakit bersalin yang palsu.
Semasa kesakitan bersalin yang sebenar, bayi puan dilindungi dari diremukkan oleh rahim dengan kehadiran air ketuban. Lama kelamaan, apabila kontraksi bertambah, lapisan dinding ‘belon’ yang berisi dengan air ketuban akan pecah. Kehadiran air ketuban melalui faraj mungkin digambarkan sebagai lembap ataupun basah kuyup. Lazimnya selepas pecahnya belon air ketuban, kontraksi bertambah dan menjadi-jadi.

Sebab kelahiran dipercepatkan
Doktor perbidanan tidak akan mencadangkan induksi ataupun mencepatkan kelahiran sekiranya puan tidak mempunyai risiko-risiko tertentu.
Tempoh kelahiran serta kemudahan unit rawatan rapi neonatal juga diambil kira. Tujuan induksi ataupun mempercepatkan kelahiran dipilih sekiranya terdapat risiko kepada kesihatan puan jika masih lagi mengandung, ataupun mungkin untuk melindungi kesihatan bayi dalam kandungan.
Sekiranya puan dan kandungan tidak bermasalah, jarang sekali induksi ataupun mempercepatkan kelahiran dilakukan sebelum minggu ke-39.

Di antara sebab-sebab mengapa kelahiran dipercepatkan adalah:
Puan mempunyai penyakit darah tinggi semasa mengandung.
Puan mempunyai masalah kesihatan di mana sekiranya tempoh mengandung dilanjutkan boleh memudaratkan.
Kandungan puan melebihi tempoh jangkaan, iaitu tempoh jangka dan dicampurkan 10 hari.
Puan turun air ketuban dan kuman telah menjangkiti rahim.
Uri (plasenta) terlucut dari dinding rahim, menyebabkan puan kehilangan darah yang banyak. Dalam keadaan ini, puan akan menghadapai kelahiran melalui pembedahan caesarean. Kebocoran air ketuban sebelum tempoh matang.
Ada banyak sebab-sebab lain lagi yang menyebabkan kelahiran dipercepatkan, mungkin kerana sosial logistik di mana kandungan puan telah pun mencukupi penggal dan kediaman puan jauh di pendalaman.
Proses induksi kelahiran

Lazimnya di hospital, ubat jenis prostaglandin akan dimasukkan ke dalam faraj, tetapi ada juga yang menggunakan teknik ubat oksitosin melalui pembuluh darah.

Cara lain seperti menggunakan laminaria yang diletakkan di pembukaan pangkal rahim. Dengan masa, alat ini menyerap air dan menjadi bertambah lebar, jadi pangkal rahim dibukakan secara perlahan-lahan.
Sekiranya puan mempunyai kontraindikasi untuk menggunakan kaedah lazim untuk mematangkan pangkal rahim, berkemungkinan doktor perbidanan akan membuka pangkal rahim dengan cara menyapu lapisan nipis yang melindungi air ketuban.

Dengan kaedah ini, puan mungkin mengalami sedikit kekejangan dan juga sedikit berdarah yang tidak merbahaya.

Badan puan akan mengeluarkan prostaglandin sendiri yang mana dengan masa akan melembutkan pangkal rahim dan akhirnya menyebabkan kontraksi serta mencepatkan kelahiran.
Sekiranya pangkal rahim sudah terbuka tetapi bukaannya masih kecil, berkemungkinan juga lapisan selaput yang melapisi air ketuban akan dipecahkan, kaedah ini dijalankan sekiranya kepala bayi sudah jatuh jauh ke dalam tulang pinggul.

Induksi atau proses mencepatkan kelahiran tidak boleh dijalankan sekiranya:
l Uri (plasenta) puan berada di bawah (tempat bukaan pangkal rahim). Keadaan ini dipanggil plasenta praevia, kelahiran terpaksa dijalankan melalui pembedahan.
l Bayi dalam kandungan berada dalam keadaan melintang, atau mana-mana kedudukan di mana kepalanya bukan di tulang pinggul.
l Tali pusat bayi anda berada di bawah dan mungkin terlebih dahulu keluar sekiranya lapisan air ketuban bocor, ini boleh menyebabkan kematian bayi.
l Puan pernah mengalami pembedahan pada rahim, mungkin kerana fibroid ataupun membaik pulih anatomi rahim yang abnormal bentuknya.

Risiko
Terdapat beberapa risiko berkaitan dengan induksi atau mana-mana kaedah untuk mencepatkan kelahiran.
Puan jangan bimbang, walaupun ada sedikit risiko tetapi kaedah-kaedah yang dipraktikkan di hospital adalah selamat.

Untuk pengetahuan puan, risiko-risiko yang mungkin berlaku adalah seperti:
Perubahan pada kadar degupan jantung bayi dalam kandungan.
Mungkin risiko jangkitan pada puan serta bayi di dalam kandungan.
Masalah yang berkait dengan tali pusat bayi seperti terhimpit, terkeluar dahulu semasa pecahnya air ketuban dan sebagainya.
Rangsangan berlebihan terhadap kontraksi rahim menyebabkan kekerapan kontraksi terlalu cepat dan terlampau kuat.
Pecahnya rahim.

Perlu ditegaskan pada puan sekiranya puan perlu melalui induksi atau kelahiran yang perlu dipercepatkan, pilihlah hospital atau pusat bersalin yang mempunyai kemudahan asas perbidanan yang boleh mengenal pasti akan masalah yang mungkin akan terjadi lantas merujuk ke hospital yang lebih berkelengkapan untuk memastikan kesihatan puan serta bayi terjaga dan terurus.

Puan harus ingat yang setiap wanita mengandung walaupun nampaknya tidak berisiko, tetapi dalam masa sekelip mata, keadaan perbidanan boleh berubah dan mungkin memudaratkan nyawa ibu serta bayi yang penat lelah dikandung selama sembilan bulan lamanya.

Jangan takut untuk berbincang dengan doktor atau jururawat mengenai sebarang isu kandungan serta kesihatan puan.

No comments:

Post a Comment